Hai Korang! Bulan Ramadan sememangnya waktu yang penuh keberkatan untuk kita merenung diri, mengeratkan silaturahim, dan pastinya, berkongsi rezeki dengan komuniti.
Tahun ini, kami di Bigo Live amat berbesar hati dapat turut serta memberi kembali kepada masyarakat sebagai rakan kongsi dan penyokong untuk program Kongsi Rezeki: Tahfiz Berselawat 2025.
Inisiatif murni yang diterajui oleh selebriti terkenal Malaysia, Putra Amaris ini, didedikasikan khas untuk menceriakan kehidupan kanak-kanak yang kurang bernasib baik. Segala hasil kutipan program ini akan disalurkan sepenuhnya kepada dua pihak utama:
- Maahad Tahfiz Misbahul Falah Keramat: Menyediakan pendidikan Tahfiz untuk anak-anak yatim dan asnaf.
- Adina Charity Circle: Membantu dalam rawatan perubatan kanak-kanak yang menghidap kanser.
Kerjasama ini menunjukkan komitmen kami di Bigo Live untuk sentiasa menyumbang dan membawa impak positif, bukan sahaja di alam maya tetapi juga di dunia nyata.

Hos Bigo Live Sebarkan Kegembiraan & Semangat Memberi
Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, kami telah membawa bersama komuniti pencipta kandungan (hos) tempatan kami untuk sama-sama meningkatkan kesedaran, menyebarkan keceriaan, dan menyumbang semula kepada masyarakat. Seramai 10 orang hos Bigo Live telah menyertai pelbagai acara dalam program ini, termasuklah:
- Majlis Iftar Komuniti: Hos kami beramah mesra dan berbuka puasa bersama anak-anak tahfiz, mewujudkan suasana kekeluargaan yang indah.
- Pengagihan Duit Raya: Menceriakan lagi suasana dengan pemberian duit raya kepada anak-anak ini.
- Rakaman Khas "Takbir Raya": Hos kami juga akan menyumbangkan suara mereka dalam satu rakaman istimewa "Takbir Raya" yang akan diperdengarkan semasa Aidilfitri nanti, menambahkan lagi kemeriahan sambutan Hari Raya dengan elemen yang penuh bermakna.
Selain penglibatan aktif hos kami, Bigo Live turut berbesar hati menyumbangkan sebanyak RM12,000 kepada Program Kongsi Rezeki ini, yang akan membantu pelbagai inisiatif mereka untuk kanak-kanak.
"Ramadan adalah masa untuk refleksi diri yang bermakna dan mengukuhkan hubungan dengan komuniti. Menjelang Hari Raya, kami komited untuk memainkan peranan kami dalam saling menyokong dan memberi. Bersama-sama dengan pencipta kandungan dan pengguna kami, kami menyebarkan semangat memberi melalui acara amal dalam talian dan luar talian, serta menggalakkan komuniti untuk turut serta bagi mencipta impak positif yang lebih besar," kata jurucakap Bigo Live Malaysia.
Komitmen Berterusan Bigo Live Untuk Komuniti
Platform penstriman langsung global kami sentiasa menawarkan pelbagai peluang kepada pencipta kandungan untuk meluaskan capaian dan memberi sokongan kepada komuniti tempatan melalui platform digital kami yang interaktif dan selamat. Di Malaysia, Bigo Live kerap menganjurkan aktiviti tempatan dan serantau seperti pertandingan dalam aplikasi, acara strim langsung pelbagai hos, dan 'music livehouse' secara dalam talian serta luar talian untuk penglibatan pengguna yang lebih meluas.
Masih ingat lagi kempen amal “Riang Ramadan Raya” kami tahun lepas? Kami telah menganjurkan 'Music Livehouse' ‘Sing For Charity’ yang menampilkan pemuzik dan artis Malaysia menyanyikan lagu-lagu Raya kegemaran mereka secara langsung. Selain itu, 12 pencipta kandungan Bigo Live dari agensi ranking teratas kempen tersebut telah membawa 47 pelajar dari Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al-Barakh berseronok membeli-belah Baju Raya di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur. Kami juga telah menyumbang sejumlah RM8,500 kepada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al-Barakh dalam bentuk duit raya dan set baju raya baharu untuk setiap pelajar.
Melalui usaha-usaha sebegini, Bigo Live terus komited untuk memperkasakan komuniti sambil menjadikan platform penstriman langsung sebagai medium untuk perubahan positif. Jom kita sama-sama semarakkan semangat memberi di bulan mulia ini dan seterusnya!
